GEORGE TOWN – Seorang pekerja kilang maut manakala tujuh lagi parah selepas van yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok di Jalan Mount Erskine, di sini, hari ini.
Kejadian sekitar jam 5.55 pagi itu turut menyebabkan tiga daripada mangsa tersepit di dalam kenderaan, manakala dua termasuk pemandu tercampak keluar akibat impak kuat kemalangan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum anggota dari BBP Bagan Jermal dan BBP Lebuh Pantai dikerahkan ke lokasi.
“Kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas dan tiga mangsa yang tersepit di dalam van berjaya dikeluarkan jam 7.17 pagi.

“Secara keseluruhan mangsa yang cedera parah terdiri daripada pemandu lelaki serta enam pekerja wanita berusia 21 hingga 52 tahun.
“Seorang lagi pekerja wanita berusia 50-an disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di tempat kejadian dan identitinya belum dikenal pasti,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa parah itu dihantar ke Hopsital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.50 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Difahamkan kesemua pekerja itu dalam perjalanan ke kilang di Bayan Lepas untuk memulakan syif pagi. – MalaysiaGazette
















