GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menafikan dakwaan yang mengaitkan seorang pegawai kerajaan negeri ini ditahan dalam serbuan di sebuah sauna ‘songsang’ di Jalan Perai Jaya, Perai di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, semakan terhadap identiti 11 individu yang ditahan mendapati tiada penjawat awam berada dalam kumpulan berkenaan.
Sebaliknya, katanya, hanya seorang daripada mereka merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Tiada penjawat awam ditahan dalam serbuan tersebut dan kita kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Secara keseluruhan 13 ditahan terdiri 11 pengunjung serta dua lagi pekerja premis.
“Kesemua mereka kini dalam tahanan reman sehingga 5 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan berhubung bahan lucah yang ditemukan dalam telefon bimbit,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular dakwaan di media sosial salah seorang daripada mereka adalah Pegawai Khas kerajaan negeri.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang warga emas berusia 66 tahun dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antara 13 lelaki ditahan di sebuah pusat sauna di Jalan Perai Jaya, Perai.
Ketika serbuan jam 7 malam itu, beberapa pengunjung di tingkat dua premis itu didapati sedang melakukan aktiviti sauna dengan hanya berseluar dalam.
Difahamkan pusat sauna itu sudah beroperasi selama lima tahun, namun kegiatan menarik kehadiran pelanggan songsang hanya bermula sejak dua bulan lalu dengan mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan.
Selain itu, premis berkenaan turut memaparkan gambar panduan berfungsi sebagai kod komunikasi dalam kalangan pengunjung untuk mengenal pasti kecenderungan pasangan melalui pemakaian gelang tangan atau gelang kaki. – MalaysiaGazette















