TEMERLOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas basikal elektrik, beras dan tepung yang diseludup secara haram menerusi siri serbuan ke Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 9 Oktober lepas.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, anggaran nilai bagi keseluruhan rampasan adalah RM1.12 juta dan melibatkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM460,781.
“Sepasukan anggota serbuan kastam Pahang menyita sebuah kontena bersaiz 40 kaki di lokasi itu dan menemukan sebanyak 434 unit basikal elektrik yang diikrar sebagai bicycle, racing bicycle dan kids bicycle.
“Didapati ia pengikraran yang tidak betul dalam Borang Kastam No.1 (K1) di mana ia didapati mengelirukan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Daerah Temerloh di sini hari ini.
Mohd Asri berkata, nilai rampasan basikal-basikal elektrik tersebut adalah sebanyak RM272,200.00 dan melibatkan anggaran duti dan cukai sebanyak RM127,981.00.
Basikal elektrik yang disita merupakan barang larangan import menurut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang mana pengimportannya memerlukan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Beliau berkata, kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, dua pasukan anggota serbuan JKDM Pahang kemudian menyita dua kontena berasingan bersaiz 20 kaki di lokasi dan hari sama.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena-kontena yang diikrar hanya membawa tepung tersebut didapati menyembunyikan guni-guni putih berisi beras yang tidak diikrar dan disyaki sebagai barang larangan import.
“Tepung yang dirampas daripada kontena tersebut merupakan tepung beras seberat 7,980 kilogram (kg) iaitu 3,990 kg bagi setiap kontena dan 41,600 kg atau 20,800 kg bagi setiap kontena beras yang tidak diikrar,” katanya.
Mohd Asri berkata, nilai anggaran tepung beras yang dirampas adalah sebanyak RM23,940 tanpa melibatkan sebarang cukai.
Manakala nilai anggaran bagi beras yang dirampas adalah sebanyak RM832,000, membabitkan anggaran duti dan cukai berjumlah RM332,800.
“Kes ini juga masih dalam siasatan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette
















