Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan polis agar siasatan kes kematian Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, arahan itu diterima selepas polis memberi taklimat hasil siasatan kes berkenaan kepada AGC.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti individu-Individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke tas kematian tersebut sebelum kertas siasatan dirujuk semula ke AGC untuk arahan selari dengan peruntukan Perkara 145
Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataannya, Kumar meminta masyarakat tidak membuat apa-apa spekulasi terhadap kes ini sementara polis
melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.

Dalam kenyataan berasingan, AGC mengesahkan telah mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan kes bunuh untuk siasatan selanjutnya oleh pihak polis.

Pada 28 Julai 2025, satu siasatan mati mengejut telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor susulan kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia itu.

Selepas itu, pada 27 ogos 2025, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes ini berikutan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula dan bedah siasat kali kedua.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris pada 30 Ogos lalu mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.

Perkara itu didedahkan peguam, Datuk Naran Singh, selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham.

“Pemeriksaan bersama gambar dan bahan patologi daripada bedah siasat pertama menunjukkan si mati mengalami kecederaan leher yang teruk ketika dia masih hidup.

“Terdapat kecederaan pada leher berganda dalam gambar bedah siasat pertama, walaupun secara amnya konsisten dengan prosedur trakeostomi tapi lebih banyak daripada jangkaan. Bagaimanapun ia tidak menunjukkan berlaku selepas kematian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast