G. Rethinasamy

PULAU PINANG – Pada usia 86 tahun, Datuk Dr. G. Rethinasamy terus membuktikan semangat menimba ilmu dan berkhidmat kepada masyarakat tidak pernah terhenti, apabila beliau melakar sejarah peribadi dengan menamatkan pengajian Doktor Falsafah
(PhD) pada Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM).

Tokoh guaman itu, yang telah berkhidmat hampir lima dekad di Butterworth, masih aktif menerima pelanggan dan membantu golongan berpendapatan rendah yang memerlukan khidmat guaman asas.

Keprihatinannya terhadap masyarakat menjadikan beliau antara figura dihormati dalam bidang guaman negeri ini.

Menurutnya, prinsip membantu tanpa mengira latar belakang menjadi pegangan utama sejak beliau memulakan kerjaya.

“Sesiapa sahaja yang datang, saya bantu. Jika saya yakin boleh selesaikan masalah mereka, barulah saya buka fail.

“Ramai datang dalam keadaan terdesak, jadi saya siapkan kerja dahulu sebelum meminta sedikit bayaran,” katanya ketika ditemui selepas menerima skrol PhD.

Perjalanan hidup beliau turut dipenuhi cabaran. Rethinasamy pernah terpaksa menamatkan pengajian tingkatan enam lebih awal selepas ayahnya kehilangan pekerjaan.

Untuk menyara keluarga, beliau menceburi bidang kejururawatan pada tahun 1959 dan berkhidmat di beberapa hospital termasuk Hospital Butterworth.

Namun, minat mendalam terhadap undang-undang membawa beliau ke United Kingdom untuk mengikuti pengajian di Lincoln’s Inn sebelum menubuhkan firma guaman sendiri pada 1975.

Sejak itu, beliau aktif menawarkan khidmat guaman kepada masyarakat, termasuk menjalankan konsultasi awal secara percuma.

Selain terlibat dalam bidang perundangan, Rethinasamy turut memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti apabila menjadi antara pemaju terawal yang menyediakan perumahan kos rendah di Pulau Pinang.

Antara sumbangan besarnya ialah pembinaan 265 unit pangsapuri kos rendah di Tasek Gelugor sekitar 1989 hingga 1990, dijual pada harga di bawah RM50,000.

Bagi pengajian PhDnya, Rethinasamy menumpukan kajian terhadap hubungan antara pihak berkuasa perancangan dan pemaju perumahan serta impaknya terhadap pembinaan rumah mampu milik.

“Harga tanah dan kos bahan binaan semakin meningkat. Jika proses perancangan terlalu ketat, harga rumah akan terus meningkat. Diperlukan satu keseimbangan untuk memastikan rakyat mampu memiliki kediaman,” jelasnya.

Bapa kepada empat anak yang masing-masing berjaya dalam bidang profesional, termasuk juruterbang Airbus, peguam, pakar bedah saraf dan arkitek, beliau kini menjalani kehidupan sederhana di Butterworth.

Walaupun mempunyai peluang untuk berehat, beliau tetap memilih untuk terus bekerja dan berbakti.

Pada usia 86 tahun, beliau masih mengekalkan rutin senaman harian dan meluangkan masa menjaga kucing jalanan di kawasan kediamannya.

“Itu cara saya memberi makna kepada kehidupan pada usia sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast