Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengibarkan bendera pada Pelancaran Manifesto GRS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di SICC, Kota Kinabalu. Foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian untuk sentiasa akur, patuh dan setia terhadap setiap keputusan kepimpinan parti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pemuda GRS berkata, ia demi menjamin kestabilan, keutuhan organisasi serta kelangsungan perjuangan membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.

Menurutnya, Pemuda GRS juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah semalam.

Jelasnya, pihaknya menaruh penuh keyakinan supaya barisan Kabinet yang dilantik itu dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas.

Ia ujarnya, termasuk penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah serta terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA) 1963.

“Kami yakin dan percaya bahawa tempoh lima tahun pentadbiran akan datang akan menjadi saksi kepada keupayaan Kerajaan GRS Plus untuk membawa Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing, demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Semalam, dalam satu kenyataan, Pemuda GRS menolak sebarang usaha membawa Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar.

Bagaimanapun, dalam pembentukan Kabinet kerajaan negeri Sabah semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sukau, Datuk Jafry Ariffin turut dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, Pemuda GRS juga berdiri teguh dan sebulat suara menyatakan sokongan padu serta tidak berbelah bahagi kepada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah, merangkap Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS.

Ujarnya, kemenangan GRS pada PRN-17 merupakan manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji yang terbukti matang, berwibawa, berwawasan serta berpandangan jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan pembangunan negeri Sabah.

Sehubungan itu, jelasnya, seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda GRS di semua peringkat digesa memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast