KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal mengumumkan insentif kepada pencarum yang tidak pernah membuat tuntutan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pengumuman dibuat selepas pertubuhan berkenaan selesai membuat kajian dan rancangan secara sistematik.
“PERKESO dalam proses melihat perkara ini, dalam perancangan, melihat pengiraan aktuari, pengiraan yang wajib dilakukan PERKESO yang mana laporannya dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PERKESO yang dianggotai wakil kesatuan sekerja.
“Kalau tiada aral melintang maka dengan laporan pengiraan aktuari itu kita akan mengumumkan dalam masa yang terdekat bagaimana kita boleh memberikan insentif kepada pekerja atau pencarum yang tidak pernah membuat sebarang tuntutan,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika membentangkan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025.
Ujarnya, kementerian berkenaan maklum terdapat cadangan yang disuarakan oleh beberapa orang Ahli Parlimen sebelum ini supaya insentif kepada pekerja yang telah membuat caruman sekian tempoh tetapi tidak membuat sebarang tuntutan kerana tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini.
Terdahulu Steven berkata, terdapat juga cadangan yang disuarakan supaya pekerja yang tidak pernah membuat tuntutan sepanjang bekerja boleh mendapat kembali carumannya selepas pencen.
Bagaimanapun jelas beliau, sistem berkenaan tidak boleh dilaksanakan kerana PERKESO merupakan pertubuhan yang berbeza berbanding Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“PERKESO bukan KWSP di mana boleh buat tuntutan semula selepas pencen. Ini bentuk insurans di mana ia dikongsikan dengan warga kerja termasuk caruman bahagian majikan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa PERKESO menyukarkan proses tuntutan dan pembayaran pekerja yang layak.
Malah katanya, ia terbukti apabila tahun lalu lebih RM6.2 billion tuntutan telah dibayar kepada pencarum yang layak.
“Satu aduan yang sering kita dengar, PERKESO susah nak bagi tuntutan, pembayaran, nak carum senang, nak bayar susah. Tidak wujud perkara ini.
“Tiada sebab PERKESO nak simpan duit pencarum. Tidak ada sebarang alasan PERKESO menidakkan permohonan-permohonan yang sah,” ujarnya.
Sementara itu Steven memaklumkan, sebanyak 12,306 kes tuntutan ditolak PERKESO sejak 2023 hingga Oktober lalu selepas ia diputuskan sebagai bukan bencana kerja.
Katanya, jumlah itu menunjukkan wujudnya kepentingan untuk kerajaan melaksanakan Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025.
Ujarnya, pelaksanaan skim berkenaan adalah bagi mengelakkan situasi ribuan keluarga yang terpaksa menanggung sendiri kos rawatan dan segala perbelanjaan pemulihan, hanya kerana kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja.-MalaysiaGazette
















