KUALA LUMPUR – Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang ditahan dalam serbuan di pusat sauna yang disyaki menjadi lokasi lelaki songsang telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia susulan tindakan serta-merta Unit Integriti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.
Menurut beliau, KPT menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.

“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan seramai 201 pengunjung ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat yang dijadikan sarang buat lelaki gay melampiaskan nafsu songsang di Chow Kit di sini, Jumaat lalu.
Daripada yang ditahan itu, seramai 17 orang merupakan penjawat awam terdiri daripada guru, doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) serta pegawai agensi penguatkuasaan. – MalaysiaGazette

















Kenapa nak arahkan letak jawatan.. PTD tu tak didakwa pun
.. lain lah didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah..