Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 02 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengutip uhasil duti eksais bagi Sugar-Sweetened Beverages (SSB) sebanyak RM54.9 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak RM21 juta daripada kutipan itu digunakan untuk tujuan perolehan ubat Sodium-Glucose Transport Protein 2 (SGLT2) inhibitors.

Katanya, jumlah tersebut diagihkan ke semua negeri pada September lalu dan telah memberikan manfaat kepada 49,128 orang pesakit.

“Tahun 2024 pula mencatatkan jumlah kutipan hasil duti eksais bagi SSB sebanyak RM68.6 juta,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (Pakatan Harapan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, ubat SGLT2 inhibitors digunakan untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus dan mengurangkan komplikasi penyakit buah pinggang kronik (CKD).

“Memberi perlindungan kardiovaskular dan renal yang signifikan. Ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan
jantung dan kematian akibat penyakit kardiovaskular, memelihara fungsi buah pinggang dengan melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang kronik, dan mengawal tekanan darah dan berat badan,” katanya lagi.

Selain itu tambah Dzulkefly, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan RM40 juta untuk rawatan dialisis peritonea pada tahun ini.

“Peratus pesakit yang menjalani rawatan Dialisis Peritoneal (PD) di fasiliti KKM pada tahun 2025 adalah 42 peratus, meningkat daripada 36.6 peratus pada tahun 2020,”ujarnya.

Duti eksais ke atas produk minuman bergula SSB dimulakan sejak 1 Julai 2019 pada kadar 40 sen seliter berdasarkan nilai ambang kandungan gula yang ditetapkan.

Bermula 1 Januari 2024, kadar duti eksais telah dinaikkan kepada 50 sen seliter dan kadar cukai ini telah dinaikkan lagi daripada 50 sen kepada 90 sen seliter (kenaikan sebanyak 40 sen) bermula 1 Januari 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast