Azizee Ismail.

GEORGE TOWN – Seorang saintis sebuah syarikat swasta di negeri ini mengalami kerugian RM466,078 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dalam talian melalui platform Digital Realtyv.

Lelaki tempatan berusia 26 tahun itu dikatakan menjadi mangsa penipuan selepas berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Xion Hong Shu pada awal September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek menawarkan pelaburan dalam platform Digital Realtyv yang kononnya memberi keuntungan tinggi dalam tempoh singkat melalui dagangan mata wang asing (forex).

Jelas beliau, mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi berkenaan untuk pendaftaran sebelum membuat pelaburan pertama sebanyak RM4,500 pada 6 Oktober ke akaun atas nama individu di Hong Leong Bank sebelum menerima pulangan berjumlah RM4,754.

“Yakin dengan keuntungan awal, mangsa menambah pelaburannya kepada RM466,078.51 melalui 13 transaksi yang dimasukkan ke dalam tujuh akaun bank berbeza antara 6 Oktober hingga 17 November lalu.

“Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan daripada aplikasi tersebut dan diminta membuat pembayaran tambahan untuk tujuan pengeluaran.

“Sedar dirinya telah diperdaya, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, Datuk Azizee turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan helah scammer yang berselindung di sebalik platform media sosial.

“Penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan, terutamanya secara dalam talian, adalah sangat berisiko.

“Sebarang semakan perlu dibuat dengan pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti atau individu tersebut diberi kebenaran untuk menawarkan, mempromosikan atau menjual sebarang produk serta perkhidmatan pasaran modal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast