[Gambar fail] Tangkap layar video serbuan pasukan Polis KL di sebuah spa yang menjadi lokasi aktiviti seks songsang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Keputusan mahkamah menolak permohonan reman ke atas 201 individu termasuk 171 rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi di sebuah spa di Chow Kit, Jumaat lalu membongkar kelemahan nyata dalam sistem perundangan negara.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) mendakwa, sistem perundangan negara telah gagal memberikan ruang tindakan sewajarnya terhadap kegiatan seks songsang dan luar tabie, walaupun bukti operasi dan aktiviti mencurigakan begitu jelas di lokasi kejadian.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menegaskan pembebasan beramai-ramai ini bukan sekadar satu episod teknikal.

Sebaliknya, ia merupakan gambaran kepada realiti Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang benar-benar tegas, khusus dan berkesan untuk mengawal serta membanteras aktiviti seks songsang yang bertentangan dengan nilai agama, moral, budaya dan norma masyarakat.

Situasi “tiada mangsa, tiada kes” yang sering menjadi alasan dalam kes seperti ini telah menjadikan undang-undang sedia ada tidak mampu berfungsi, dan akhirnya membuka ruang luas untuk kegiatan songsang beroperasi secara hampir tidak takut kepada tindakan undang-undang, tegas timbalan presidennya, Datuk Abdul Rashid Zainullah.

Lantaran itu, Pekida menuntut supaya kerajaan mengambil pendirian tegas tanpa kompromi dalam isu ini.

Abdul Rashid Zainullah.

“Kerajaan perlu segera menggubal undang-undang baharu atau meminda akta sedia ada bagi meletakkan apa jua bentuk aktiviti seks songsang dan luar tabie sebagai satu jenayah berat, tanpa memerlukan syarat pengakuan mangsa atau apa-apa halangan teknikal yang memungkinkan pelaku terlepas daripada tindakan.

“Undang-undang tersebut mestilah memberi kuasa lebih jelas kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak berdasarkan bukti operasi, keadaan premis, perlakuan mencurigakan, penggunaan ruang tertutup dan elemen-elemen yang secara terang-terangan menggambarkan aktiviti tidak bermoral sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Pekida mahu premis spa, sauna dan pusat urut yang menyalahgunakan lesen untuk aktiviti melampaui batas mesti berdepan tindakan tegas melalui pembatalan lesen, penyitaan aset dan pendakwaan ke atas pemilik serta operatornya.

Jelas beliau, kewujudan pusat-pusat sebegini bukan sahaja mencemar nama industri kesihatan, malah menjadi punca kepada budaya songsang yang semakin berani beroperasi di tengah-tengah bandar besar.

“Malaysia tidak boleh membiarkan ruang komersial dilacurkan untuk kegiatan yang menjejaskan akhlak dan moral masyarakat, apatah lagi apabila ia melibatkan majoriti umat Islam yang wajib memelihara kesucian agama,” tambahnya.

Menurut Abdul Rashid, usaha ini tidak boleh dilihat sebagai tindakan menghukum semata-mata, tetapi sebagai satu langkah penting mempertahankan sistem nilai agama dan budaya negara.

“Malaysia adalah negara yang berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, dan nilai moral masyarakat mestilah dipelihara agar generasi akan datang tidak dibiarkan hanyut dalam budaya luar yang merosakkan akhlak, kesihatan mental, institusi keluarga dan keselamatan sosial.

“Justeru, kerajaan perlu menggerakkan usaha menyeluruh merangkumi pendidikan, pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan budaya songsang ini tidak berkembang menjadi ancaman yang lebih besar,” tegas beliau sambil menyatakan komitmen untuk bersama pihak berkuasa, badan agama dan masyarakat sivil dalam mempertahankan kesucian nilai, maruah serta akidah umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Beliau turut menyeru kerajaan untuk tidak menangguhkan lagi penggubalan undang-undang yang lebih tegas, lebih jelas dan lebih berkesan demi menjaga masa depan negara.

Katanya, kelemahan undang-undang pada hari ini akan mengundang kerosakan yang besar pada masa hadapan, dan tindakan segera adalah satu kewajipan moral serta tanggungjawab nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast