Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Spekulasi rombakan Kabinet semakin rancak diperkatakan susulan laporan mengatakan ia bakal berlaku awal Disember ini.

Difahamkan, ramai juga ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti yang menyokong kerajaan sedang ‘melobi’ jawatan sama ada menteri atau timbalan menteri.

Di sebalik lobi-melobi itu, ada sumber berkata, nama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang kini berstatus ahli Parlimen bebas ‘dijemput’ untuk menyertai Kabinet.

Wan Saiful merupakan bekas pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah dipecat sebelum mengambil keputusan untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Menurut sumber, perkembangan mengejutkan itu timbul di tengah-tengah dakwaan rombakan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun 2025.

Sumber tersebut mendedahkan, Wan Saiful telah dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan wakil dari kerajaan pada minggu lalu.

Sumber tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai tawaran tersebut termasuk portfolio spesifik yang mungkin ditawarkan kepada Wan Saiful jika beliau bersetuju untuk menyertai kerajaan.

Perkembangan ini dilihat sebagai satu langkah penting dan berpotensi mengubah landskap politik semasa jika Wan Saiful menerima tawaran tersebut.

Ia juga menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan petanda bagi lebih banyak ‘lompatan’ daripada pembangkang untuk mengukuhkan majoriti kerajaan.

Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan sama ada oleh Pejabat Perdana Menteri mahupun Datuk Wan Saiful Wan Jan sendiri mengenai laporan tersebut.

Sebelum ini, nama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga disebut-sebut menganggotai semula Kabinet dengan dilantik menjadi senator. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast