Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 14,000 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara setiap tahun yang menunjukkan institusi pendidikan itu membahayakan keselamatan anak-anak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan 8.6 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.

Katanya, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula dalam tempoh dua bulan sahaja iaitu sejak Ogos hingga Oktober lalu merekodkan sebanyak 160 kes buli dengan 78 peratus mangsa terdiri kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun.

“Secara keseluruhan, statistik termasuk melalui Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sekolah adalah lokasi utama insiden buli dengan kanak-kanak adalah kumpulan yang paling terdedah.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa sekolah, tempat yang sepatutnya menjadi zon selamat, adalah lokasi utama berlakunya insiden buli.

“Terdapat ramai lagi kanak-kanak yang menderita dalam diam, tanpa laporan, suara dan perlindungan menyebabkan kerajaan mengambil tindakan segera.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Isnin lalu, bacaan kali pertama RUU Antibuli 2025 dibentangkan dengan penubuhan Tribunal Antibuli yang dicadangkan memberi kuasa kepada badan itu membuat suatu perintah atau ‘award’ bagi pembuli untuk membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 kepada mangsa perbuatan itu.
Melalui RUU ini, Azalina berkata, setiap institusi pendidikan dan berkaitan bertanggungjawab menubuhkan jawatankuasa bagi tujuan pencegahan dan pengurusan kes buli.
Katanya, dalam RUU itu, tribunal akan ditubuhkan dan berperanan sebagai badan ‘Quasi-Judicial’, yang mempunyai bidang kuasa sivil untuk mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli.

“Aduan boleh dibawa ke tribunal dalam tiga keadaan iaitu jika buli berlaku dalam kawasan seliaan institusi pendidikan atau institusi lain, dan pengadu membuat aduan kepada jawatankuasa berhubung dengan pencegahan dan pengurusan kes buli tetapi tiada tindakan diambil.

“Tribunal juga akan mengendalikan kes jika mangsa ialah pelajar tetapi kejadian berlaku di luar kawasan kawalan seliaan institusi, dengan syarat mangsa adalah seorang kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast