Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing diiring pegawai SPRM untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Muhammad Akin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam pada Khamis dan Jumaat ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pendakwaan itu dibuat selepas pihaknya melengkapkan kertas siasatan ke atas kedua-dua individu itu.

“Kedua-duanya akan menghadapi lima pertuduhan, masing-masing di bawah Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok (Khamis) dan dijangka dituduh lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Jumaat.

“Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kedua-duanya akan menghadapi empat pertuduhan di mana Shamsul Iskandar akan dituduh di bawah Seksyen 17 (Subseksyen A) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suapan.

“Manakala Albert Tei pula dituduh kerana memberi suapan di bawah Seksyen 17 (Subseksyen B) Akta SPRM 2009. Begitu juga di Mahkamah Shah Alam, masing-masing akan menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Pada 28 November lalu, Shamsul Iskandar, Tei dan Sofia Rini Buyong ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh Tei kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Shamsul Iskandar dan Sofia Rini ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas memberikan keterangan manakala Albert ditahan di rumahnya di Puchong.

Selain itu, kata Azam, dalam tempoh seminggu siasatan yang dijalankan sebelum ini, pihaknya telah memanggil seramai 32 saksi untuk dirakam percakapan, tidak termasuk tiga individu yang telah ditangkap.

“Kesemua saksi ini telah kita rakam dan kita akan maklumkan sekiranya dipanggil untuk ke mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast