KUALA LUMPUR – Grab Malaysia melancarkan GrabAssist, perkhidmatan khusus bagi menyokong penumpang yang memerlukan bantuan mobiliti dan akses tambahan, hari ini.
Menurut syarikat itu, inisiatif berkenaan bertujuan memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, serta pengguna alat bantuan mobiliti peribadi agar mereka dapat bergerak dengan lebih bebas dan berdikari.
“GrabAssist menawarkan penyelesaian mobiliti kepada segmen pasaran yang kurang diberi perkhidmatan, khususnya mereka yang memerlukan pilihan pengangkutan yang lebih mudah diakses sama ada untuk berulang-alik dari rumah, pusat jagaan atau hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan tersebut dilancarkan di Lembah Klang, melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MFD dan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).
Perkhidmatan itu akan bermula dengan hampir 100 rakan-pemandu yang telah menerima latihan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan bertauliah.
Latihan tersebut membekalkan mereka kemahiran untuk mengendalikan peralatan mobiliti seperti kerusi roda dan alat bantu jalan, serta memberikan sokongan yang profesional dan bersifat empati.
Mereka turut dilengkapi dengan kit GrabAssist yang merangkumi kad selak (flip card) bagi komunikasi dalam kereta, yang membolehkan mereka berkomunikasi dan memberikan bantuan kepada pelanggan dengan lebih berkesan.
Pelanggan kini boleh memilih perkhidmatan GrabAssist melalui Advance Booking di aplikasi Grab yang membolehkan mereka menempah kenderaan yang sesuai, dipandu oleh rakan-pemandu terlatih, pada waktu yang mereka perlukan. -MalaysiaGazette
















