Para peserta yang menyertai Forum Literasi Kewangan anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu baru-baru ini.

KUALA NERUS — Golongan muda, khususnya mahasiswa, perlu lebih bijak mengurus kewangan bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan beban hutang yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, usaha memperkasakan literasi kewangan bukan hanya relevan dari sudut akademik, malah mempunyai kesan langsung kepada kesejahteraan mahasiswa.

“Usaha seperti forum ini menyumbang kepada kesejahteraan mahasiswa secara menyeluruh kerana faktor literasi kewangan telah dikenal pasti sebagai salah satu cabaran utama dalam Indeks Kesejahteraan Mahasiswa yang dijayakan HEPA UMT. Semakin baik mereka  mengurus wang, semakin stabil kehidupan kampus mereka.

“Generasi muda kini berdepan tawaran kredit yang mudah, komitmen kewangan yang kompleks dan godaan perbelanjaan yang tinggi. Tanpa kefahaman kukuh, mereka boleh terjerumus ke dalam masalah hutang serius pada usia sangat muda,” katanya ketika berucap sempena Forum Literasi Kewangan anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.

Forum yang disertai oleh hampir 400 pelajar universiti awam dan swasta itu turut dihadiri oleh Pengarah Insolvensi Bahagian Kebangkrapan Insolvensi Malaysia, Siti Noor Mazlifah Mokhtar bagi menyempurnakan acara perasmian majlis.

Bertemakan “Kuasa Wang, Cegah Bankrap, Masa Depan Terjamin” program tersebut mendapat sokongan profesional daripada pelbagai agensi kewangan dan pencegahan jenayah kewangan untuk membincangkan isu semasa, risiko hutang tidak terkawal serta strategi mengurus kewangan peribadi dengan lebih bijak.

“Generasi muda kini berdepan tawaran kredit yang mudah, komitmen kewangan yang kompleks dan godaan perbelanjaan yang tinggi. Tanpa kefahaman kukuh, mereka boleh terjerumus ke dalam masalah hutang serius pada usia sangat muda,” katanya.

Pensyarah kanan kewangan UMT, Prof. Madya Dr. Mohd Safwan Mohd Nor yang juga panel forum menegaskan kepentingan disiplin kewangan dalam kalangan mahasiswa.

“Ramai mahasiswa tidak sedar bahawa tabiat berbelanja melebihi kemampuan walaupun bermula kecil seperti penggunaan ‘buy now pay later’ atau komitmen langganan boleh berkembang menjadi beban hutang yang serius.

Literasi kewangan bukan sekadar teori, tetapi kemahiran hidup yang menentukan kestabilan masa depan,” ujarnya.

Peserta program, Amirul Hafez Mohamed Masarik, pelajar Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim UMT menyifatkan forum itu sebagai pendedahan penting kepada pelajar khususnya mereka yang berminat dalam dunia keusahawanan dan perniagaan.

“Perkongsian hari ini membuka mata saya tentang risiko sebenar apabila kita tidak merancang kewangan dengan betul. Bagi pelajar yang mahu menceburi bidang perniagaan, ilmu seperti aliran tunai, pengurusan hutang dan disiplin perbelanjaan sangat penting
supaya kita tidak membuat kesilapan kewangan pada usia muda”. katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast