Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun hadir bersama isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof untuk meraikan kejayaan anak mereka.

SERDANG – Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 menjadi lebih bermakna apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun hadir bersama isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof untuk meraikan kejayaan anak mereka.

Nur Athira Basyirah Aminuddin, 23, yang bergraduasi dalam Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan dari Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) hari ini.

Aminuddin juga menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anaknya serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga akademik UPM.

“Saya mengucapkan tahniah kepada anak saya dan semua graduan yang berjaya hari ini serta pihak pengurusan, pentadbiran dan pensyarah yang telah mendidik mereka. Saya mendoakan UPM terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada para belia yang merasakan pengajian tinggi tidak lagi penting.

Sementara itu, Nur Athira Basyirah berkata, pilihannya untuk melanjutkan pengajian di UPM adalah kerana reputasi universiti itu sebagai antara yang terbaik di Malaysia serta peluang mendalami pendidikan fizik.

“UPM adalah universiti kedua terbaik di Malaysia dan saya sasarkan untuk menyambung pengajian di ‘menara ilmu’ ini,” katanya.

Walaupun fizik sering dianggap subjek yang mencabar, Athira melihatnya dengan cara berbeza.

“Antara semua subjek sains saya paling minat fizik dan menjalankan latihan industri di sekolah, saya lebih mudah mengajar fizik kerana subjek ini menarik serta berkait dengan kehidupan kita,” katanya.

Beliau yang juga anak keempat daripada lima beradik itu berkata, minatnya dalam bidang pendidikan banyak dipengaruhi oleh ibunya yang merupakan seorang guru dan menjadi mentor utama dalam membentuk hala tuju akademiknya.

“Dengan minat mendalam terhadap sains dan pendidikan saya berhasrat meneruskan kerjaya sebagai pendidik mencurah kembali ilmu dan peluang yang saya ada ini kepada generasi masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast