SUBANG JAYA – Polis sedang mengesan dua wanita termasuk seorang remaja yang dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan mengenai kehilangan Siti Noor Shafiqah Edarullah, 19, dan Siti Esmahdatul Husna Abdullah, 25, diterima pukul 6.05 petang.
“Kedua-dua mereka kali terakhir dilihat di sebuah rumah di Lot 106, Jalan Tempinis, Kampung Tengah, Puchong pada 1 Disember lalu.
“Polis sedang berusaha mengesan kedua-dua individu serta siasatan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Noor Shafiqah memiliki ketinggian 157 sentimeter, berat 60 kilogram, berkulit kuning langsat, berambut pendek kerinting hitam, hidung bulat, mata sepet dan bibir nipis.
Siti Esmahdatul Husna pula berketinggian 160 sentimeter, berat 70 kilogram, berkulit hitam manis, berambut panjang perang, hidung bulat, mata bulat dan bibir tebal.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Fyruz Salim di 016-7279039. – MalaysiaGazette
















