Jumlah Rasmi Sehingga Rabu, 4 Disember 2025, Jam 8 pagi. Sumber : Pejabat SUK Perlis

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Perli dan Pahang hampir pulih, manakala jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Selangor terus menurun pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di 18 PPS melibatkan lima daerah menurun kepada 2,690 orang daripada 783 keluarga, berbanding 2,763 orang daripada 785 keluarga malam tadi.

Berdasarkan data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,385 orang, manakala Bagan Datuk (650), Manjung (413), Perak Tengah (229) serta Larut, Matang dan Selama (13).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut dan hujan di daerah Kampar, Muallim dan Batang Padang pada petang dan malam ini, manakala beberapa daerah lain termasuk Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Kinta dijangka berlaku ribut pada sebelah petang.

Di SELANGOR, jumlah mangsa menurun kepada 699 orang daripada 215 keluarga pada pagi ini berbanding 712 orang daripada 220 keluarga malam tadi.

Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah PPS yang masih beroperasi juga menurun kepada tujuh berbanding lapan sebelum ini, melibatkan daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Situasi banjir di PERLIS pula semakin pulih, dengan jumlah mangsa banjir menurun kepada 207 orang setakat 8 pagi ini berbanding 256 orang malam tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, semua mangsa masih ditempatkan di dua PPS bagi kawasan Padang Besar dan Arau.

Di PAHANG, jumlah mangsa di Kuantan dan Maran kekal 28 orang daripada enam keluarga yang berada di dua PPS seperti malam tadi.

InfoBencana JKM melaporkan 21 mangsa daripada lima keluarga berlindung di Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran, manakala tujuh sekeluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.

Paras air di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran di semua sungai utama negeri itu merekodkan bacaan di bawah paras bahaya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast