Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Majlis 'Cyberjaya Conversation Summit' 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membawa isu melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) di Terengganu ke mesyuarat Kabinet, esok.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, keutamaan diberikan bagi memastikan tindakan segera dapat diputuskan kerajaan Persekutuan bagi menangani isu berkenaan.

“Saya pasti beberapa saranan dan cadangan kepada resolusi mesyuarat Lembaga Pengarah akan disampaikan kepada saya.

“Saya akan bincangkan esok di mesyuarat Jemaah Menteri untuk beberapa langkah tindakan segera dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KKDW, hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA dan FGV sedang berlangsung ketika ini bagi merumuskan cadangan awal sebelum dibawa ke Kabinet.

Kelmarin, FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa mereka sedang menjalankan semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu terhadap lot ladang milik agensi berkenaan serta anak syarikatnya.

Semakan itu merangkumi sejarah serta rekod pembayaran, premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang bagi memastikan semua aspek dipatuhi sepenuhnya.

Notis amaran pendudukan secara tidak sah tersebut dikeluarkan terhadap ladang-ladang FELDA dan FGV di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman pada 30 November, 1 Disember dan 2 Disember lalu.

FELDA dan FGV menegaskan notis berkenaan tidak menjejaskan operasi ladang serta kehidupan harian peneroka di Wilayah Terengganu, yang boleh meneruskan aktiviti seperti biasa.

Mengulas pertanyaan mengenai pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berhubung isu notis amaran tersebut, Ahmad Zahid berkata perbincangan itu masih belum diadakan namun perlu dilakukan segera.

“Saya tidak nampak ada masalah sebenarnya kerana perkara ini kita bawa ke Majlis Tanah Negara dan juga perbincangan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

“Lazimnya kita selesaikan masalah di peringkat itu, bukan melalui tindakan undang-undang atau pengosongan premis. Jadi, segala-galanya boleh dirunding walaupun negeri itu bukan sealiran dengan Putrajaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast