Tembok konkrit di sungai Gombak yang runtuh dan pagar keselamatan aygn rosak menyebabkan risiko banjir ketika di Kampung Pandang Balang, Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2025.

GOMBAK – Tembok konkrit runtuh dan pagar keselamatan juga rosak menjadi kebimbangan penduduk di Kampung Padang Balang di sini sekali gus mengundang risiko banjir di kawasan perumahan mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, terdapat penduduk berdekatan Sungai Gombak di situ hari ini sibuk membersihkan rumah akibat kesan banjir susulan hujan lebat petang semalam.

Tembok konkrit di sungai Gombak yang runtuh dan pagar keselamatan aygn rosak menyebabkan risiko banjir ketika di Kampung Pandang Balang, Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2025.

Seorang penduduk, Danil Asyraf, 33, berkata, situasi banjir kerap kali berlaku di kawasan itu terutama rumahnya yang berhadapan dengan sungai namun tahun ini adalah paling teruk kerana dua kali dilanda musibah.

Danil Asyraf. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2025.

“Kami duduk sini sudah empat generasi dan banjir memang selalu berlaku yang mana air sungai akan naik dan melimpah sehingga ke rumah kami bila musim hujan.

“Aduan kepada pihak berkuasa juga sudah banyak kali diajukan macam tembok kontrit pun sudah jatuh dan pagar pun tak ada lagi tapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Ditambah pernah ada kes budak lemas, turun dekat sungai untuk  memancing atau mandi, sampai kami tidak tahu lagi nak buat aduan macam mana,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Danil, dia dan penduduk lain terpaksa mengambil cuti kecemasan  setiap kali dilanda banjir yang teruk untuk membersihkan rumah kerana memerlukan masa yang lama terutama proses mengepam keluar air.

Penduduk, Muhammad Aimey Mohd Radzuan, 25 membersihkan kawasan perumahanya yang dinaiki air ketika di Kampung Pandang Balang, Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2025.

Bagi Mastura Mohamad, 58, pula meluahkan rasa kebimbangan setiap kali hujan lebat berlaku di kawasan itu ditambah bunyi siren banjir kerana perlu keluar rumah dan berpindah ke kawasan selamat.

“Saya tinggal di sini sejak tahun 1967 tinggal bersama emak yang kini berumur 80 tahun, memang kerap kali berlaku banjir teruk tapi selepas buat penambaikan dengan mengubah laluan sungai ini ke Sungai Batu, ia sudah kurang.

“Namun selepas 10 tahun, kali ini paling teruk sebanyak dua kali mungkin sebab longkang yang kecil tidak mampu lagi menampung air yang banyak ditambah limpahan air sungai di depan ini akibat hujan lebat.

“Tapi situasi kini buat saya takut bila bunyi siren dan banjir sebab saya bersama mak sudah warga emas di sini, jadi saya harap kerajaan boleh buatkan tembok konkrit kerana bimbang akan berlaku hakisan tanah serta beri kesan pada kami,” ujarnya.

Penduduk, Danil Asyraf membersihakan kawasan rumahnya yang dinaiki air banjir ketika di Kampung Pandang Balang, Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2025.

Sementara itu, penduduk, Rizal Salleh, 27, pula berkata, situasi banjir yang melanda di Kampung Pandang Balang semalam amat mengejutkan kerana rumahnya yang berada di kawasan tinggi turut terkesan sedikit.

“Semalam memang teruk sebab depan ini jalan utama keluar kampung dan orang ramai terkandas kerana limpahan air sungai agak tinggi dan hampir memasuki rumah saya walaupun kami di tempat agak tinggi sedikit berbanding jiran lain.

“Saya cuma harap kalau boleh pihak berkuasa lihat balik keselamatan di kawasan ini terutama dari segi tahanan sampah itu macam tiada yang uruskan, runtuhan tembok konkrit dan pagar besi di tepi sungai serta sistem pengaliran air,” jelasnya.

Rizal Salleh.. Foto MOHD ADZLAN, 05 DISEMBER 2025.

Terdahulu, tular beberapa rakaman memaparkan kawasan sekitar Kampung Padang Balang berhampiran Sungai Gombak dinaiki air susulan hujan lebat yang berterusan, semalam.

Situasi itu dikatakan kali kedua berlaku di kawasan tersebut untuk tahun ini selepas hujan lebat berlaku pada November lalu yang sekali gus memberi kebimbangan pada penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast