MELAKA – Dua remaja lelaki termasuk seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baharu tamat menduduki peperiksaan cedera selepas motosikal yang mereka tunggang terlibat nahas di persimpangan lampu isyarat Kampung Pinang B, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Muhammad Iqram Mohd Farid, 18, yang menunggang Yamaha Y15ZR, dan Muhammad Firdaus Bahri Hussin, 17, penunggang Yamaha 135LC, terjatuh selepas terlibat dalam nahas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika motosikal Muhammad Iqram yang datang dari arah Klebang berhenti di lorong kanan kerana lampu isyarat merah manakala laluan terus menunjukkan hijau.
“Tiba-tiba motosikal Yamaha 135 LC ditunggang calon SPM itu yang datang dari arah belakang melanggar bahagian belakang Yamaha Y15ZR sebelum kedua-duanya terjatuh.
“Nahas mengakibatkan Muhammad Firdaus luka di kedua-dua tangan selain patah paha kiri manakala Muhammad Iqram yang bekerja sebagai pembantu kedai mengalami luka di bahu dan kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Melaka menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Terdahulu tular berkenaan di media sosial semalam mengenai kejadian melibatkan pelajar calon SPM. – MalaysiaGazette
















