Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Emas mencatatkan prestasi yang luar biasa pada tahun 2025 dengan merekodkan lebih daripada 50 kali paras tertinggi sepanjang tahun dan memberi pulangan melebihi 60 peratus, setakat akhir November.

Majlis Emas Global (WGC) memaklumkan, prestasi cemerlang itu didorong oleh ketegangan geopolitik dan peningkatan ketidaktentuan ekonomi.

Selain itu, kelemahan dolar Amerika Syarikat digabung dengan momentum harga emas yang positif mendorong komoditi itu memberi pulangan yang lebih baik tahun ini.

Katanya, para pelabur dan bank pusat turut meningkatkan peruntukan masing-masing terhadap komoditi tersebut bagi pelbagai tujuan dan kestabilan.

WGC meramalkan, menjelang 2026 prospek emas akan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan geoekonomi yang masih belum berakhir.

“Harga emas pada umumnya mencerminkan jangkaan konsesus makro ekonomi dan mungkin kekal dalam julat tertentu jika keadaan semasa berterusan.

“Namun, mengambil isyarat daripada tahun ini, 2026 berkemungkinan terus membawa kejutan,” katanya dalam laporan tinjauan emas 2026.

WGC menjelaskan, jika pertumbuhan ekonomi perlahan dan kadar faedah terus menurun, emas mungkin mencatat kenaikan sederhana.

Namun, dalam senario kemerosotan yang lebih teruk dengan risiko global yang meningkat, emas boleh menunjukkan prestasi yang kukuh.

Sebaliknya, jika dasar-dasar pentadbiran Presiden Donald Trump menghasilkan kejayaan yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan risiko geopolitik, kadar faedah mungkin meningkat bersama pengukuhan dolar AS, sekali gus menekan harga emas ke paras lebih rendah.

Faktor tambahan seperti permintaan bank pusat dan trend kitar semula logam berharga itu juga boleh mempengaruhi pasaran. Paling penting katanya, peranan emas sebagai alat kepelbagaian portfolio dan sumber kestabilan kekal relevan dalam suasana volatiliti pasaran yang berterusan.

Katanya, harga emas tertinggi dalam sejarah ialah AS$4,381.58 seauns atau kira-kira RM578 segram, yang dicatatkan pada Oktober lalu. Kenaikan ini berlaku ketika tempoh pertumbuhan ekonomi dan spekulasi.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast