Peguam, Naran Singh bercakap kepada media selepas hadir pendengaran hasil laporan bedah siasat pertama anggota pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes),, Syamsul Haris Shamsudin ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

SHAH ALAM –  Jabatan Peguam Negara (AGC) diminta  mengeluarkan arahan kepada Pengarah Hospital Kota Tinggi, Johor supaya menyerahkan laporan bedah siasat pertama dan nota keterangan bilik kecemasan hospital itu.

Gesaan itu dibuat oleh peguam Datuk Naran Singh yang mewakili keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Teknologi Malaysia  (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Jelasnya, permohonan yang dibuat kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam itu juga mahu penyerahan dokumen tersebut dilakukan oleh hospital sendiri dan bukannya melalui pihak ketiga.

“Ya, dokumen yang saya terima itu salinan diakui sah tapi ia datang daripada polis tapi permohonan saya di mahkamah adalah untuk mengarahkan pengarah hospital memberikan sendiri laporan berkenaan.

“Kenapa hospital tidak mahu beri? Kenapa pada pihak ketiga? Apa kepentingannya? Kita sudah hantar empat surat kepada hopsital tapi tidak pernah terima maklum balas,” katanya perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini hari ini.

Respons tersebut menyebabkan pihak keluarga membawa perkara tersebut ke mahkamah tinggi dan memudahkan orang lain membuat permohonan sekiranya dapat bantahan pada masa akan datang.

Beliau menegaskan, laporan itu penting bagi meneliti kemungkinan wujud percanggahan antara bedah siasat pertama dan kedua temasuk dapatan mengenai kecederaan di leher yang tersenarai dalam laporan kedua.

“Semalam saya terima laporan yang menyatakan arwah meninggal dunia akibat pneumonia. Itu bercanggah dengan laporan kedua sebelum ini.

“Bagi saya, apabila dibawa ke bilik kecemasan adalah penting. Adalah sesuatu yang saya hendak lihat” jelasnya.

Naran juga berharap orang yang terlibat dalam kes tersebut perlu didakwa dengan segera di mahkamah selepas dapatan laporan bedah siasat kedua yang mengklasifikannya sebagai kes bunuh.

“Harapan saya dan ibu arwah cuma satu iaitu siapa bunuh? Itu jawapan yang kami hendak secepat mungkin. Orang yang terlibat perlu diheret ke muka pengadilan,” jelasnya.

Terdahulu, pada prosiding mahkamah hari ini, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 12 Disember depan sebagai sebutan semula bagi pengurusan permohonan itu.

Ini selepas pihak pendakwaan sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon seminggu bagi mendapatkan arahan Peguam Negara sama ada dokumen yang dimohon boleh dibekalkan oleh pihak hospital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast