Logo Kementerian Bella dan Sukan (KBS). Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia memilih untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 September 2027 yang mana upacara pembukaan akan dilangsungkan di Sarawak dan bakal ditutup di Kuala Lumpur.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, tarikh tersebut dipilih secara strategik kerana 18 September merupakan musim cuti universiti manakala dari sudut meteorologi, tempoh itu masih sebelum bermulanya musim tengkujuh.

Ini sekali gus memastikan keadaan cuaca lebih stabil untuk penganjuran sukan luar.

Penetapan tarikh tersebut juga dibuat bagi memastikan temasya berlangsung selepas Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September), serta tidak bertembung dengan sebarang acara besar lain.

Katanya, pengumuman tarikh serta senarai awal 38 jenis sukan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan PARA ASEAN ke-14 di Putrajaya.

Menurut KBS, Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Sukan SEA dengan empat kluster utama bagi memastikan pengagihan venue lebih efisien dan memberi manfaat pembangunan sukan di seluruh negara.

“Pemilihan sukan dilakukan berdasarkan ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), kesesuaian venue sedia ada serta pertimbangan tambahan seperti senarai sukan teras, program Road To Gold (RTG) dan Program Podium,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Sarawak bakal menjadi kluster utama dengan menjadi venue kepada 17 jenis sukan yang dipertandingkan antaranya akuatik, angkat berat, bola keranjang dan boling selain menjadi lokasi acara pembukaan.

Kuala Lumpur yang akan menjadi lokasi bagi Upacara Penutup Sukan SEA Malaysia 2027 pula akan menjadi venue 14 sukan antaranya badminton, berbasikal, ekuestrian, hoki dan luncur ais.

Manakala kluster Pulau Pinang bakal menjadi venue kepada enam jenis sukan seperti sepak takraw, snuker &billiard dan tinju dan Johor pula akan menjadi pusat untuk acara bola sepak.

“Majlis Olimpik Malaysia bersama MASOC akan membentangkan cadangan penuh 38 sukan ini kepada SEAGF pada 8 Disember 2025 di Bangkok,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut KBS, Sukan PARA ASEAN KE-14 pula akan menyusul elepas penganjuran Sukan SEA yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur, merangkumi 18 sukan seperti akuatik, badminton, bola sepak (Cerebral Palsy) dan bola sepak (Visiion Impairment).

Dalam perkembangan sama, KBS mengumumkan Pertandingan Mencipta Logo dan Maskot Rasmi Sukan SEA ke-34 serta Sukan Para ASEAN ke-14 Tahun 2027 telah dibuka kepada semua warganegara Malaysia.

Penyertaan terbaik bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu RM8,000 beserta sijil untuk tempat pertama, RM5,000 dan sijil untuk tempat kedua, serta RM3,000 dan sijil untuk tempat ketiga.

Pertandingan ini ditutup pada 31 Disember 2025. Hasil ciptaan boleh dihantar melalui pautan rasmi https://forms.gle/ZUgb3k3BKUZxaXvi8. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast