MELAKA – Seorang pelajar lelaki Politeknik Merlimau ditemukan meninggal dunia di hadapan bilik tidur rumah sewanya di Taman Merlimau Emas, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam kira-kira 12 tengah hari berhubung pengesahan kematian itu daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sungai Rambai.
Mangsa, Mohamad Zul Hakimi Abdul Rahman, 19, yang menyewa di situ bersama 13 pelajar lain ditemukan tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya sebelum mereka menghubungi talian kecemasan NG999 untuk bantuan awal.
“Hasil siasatan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, pelajar tahun tiga Diploma Elektrikal itu tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit sebelum ini.
Tambahnya, jenazah pelajar itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette
















