KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengecam tindakan sesetengah pihak yang cuba membentuk persepsi seolah-olah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara salah dalam siasatan melibatkan saksi kes rasuah, Albert Tei yang kini dituduh sebagai pemberi rasuah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pemberi rasuah tidak layak dilindungi sebagai pemberi maklumat (whistleblower) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Menurutnya, perlindungan whistleblower hanya sah jika pelaporan dibuat sebelum melakukan kesalahan, dan melalui saluran rasmi pihak berkuasa.
Jelas beliau, mana-mana pihak yang mendedahkan maklumat kepada media atau media sosial sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa secara sah, secara automatik hilang status whistleblower dan tidak memiliki sebarang kekebalan.

“Oleh itu, status sebagai saksi kerajaan tidak memadamkan jenayah memberi rasuah dan tidak menjadikannya “wira moral”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jais turut mengingatkan kes melibatkan Albert memperlihatkan trend berbahaya yang mana pemberi rasuah mengugut atau memperdaya undang-undang apabila tidak mendapat manfaat daripada jenayah yang dilakukan.
Ujarnya, jika budaya itu dibiarkan, semua pemberi rasuah akan tampil sebagai `hero integriti’ selepas gagal mendapatkan apa yang mereka mahukan.
“Ini bukan perjuangan integriti, ini manipulasi dan pemerasan terhadap undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, ujarnya, SPRM tidak boleh dipaksa hanya menyiasat penerima rasuah dan negara tidak boleh mengamalkan keadilan separuh masak memandangkan pemberi dan penerima rasuah adalah dua jenayah yang sama berat.
Ujarnya, mahkamah juga harus dijadikan tempat mencari kebenaran, bukan di medan media sosial atau menerusi propaganda politik.
Sehubungan itu, katanya, MCW menyeru semua pihak sama ada ahli politik, peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saksi, pengamal media dan masyarakat supaya tidak mengganggu siasatan SPRM melalui serangan persepsi.
“Individu yang mendakwa dirinya tidak bersalah boleh mencabar, menyaman dan membuktikan kebenarannya di mahkamah, bukan dengan mencipta naratif untuk meraih simpati,” katanya.
Albert sebelum ini menjadi perhatian susulan beberapa pendedahan yang didakwa perbuatan rasuah antaranya melibatkan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Kemuncaknya adalah dakwaan ahli perniagaan berkenaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membabitkan pemberian dan penerimaan sejumlah wang.
Bagaimanapun, Albert semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan memberi suapan kepada Shamsul Iskandar berbentuk wang tunai, kelengkapan perabot dan barangan elektrik keseluruhan berjumlah RM176,829.03.
Sementara itu, di mahkamah sama, Shamsul Iskandar turut didakwa atas empat pertuduhan bersetuju menerima rasuah dan menerima suapan itu daripada Albert. – MalaysiaGazette

















Isunya ialan double standard! Bagaimana pula dgn kes 1MDB? Jasmine Loo misalnya terang-terangan menerima habuan rasuah tetapi dilindungi dan diangkat sbg wira!
Sepatutnya pemberi rasuah yg membongkar kes rasuah patut dijadikan saksi utama kepada penerima rasuah didalam mahkamah sehingga penerima rasuah dihukum. Setelah itu baru la pemberi rasuah dibicarakan atas pengakuan bersalah kerana memberi rasuah dan dihukum dgn pertimbangan ia telah membantu kerajaan membenteras rasuah di peringkat atasan. Itu sepatutnya yg perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.