Peguam, N Surendran bercakap kepada wartawan ketika hadir bersama ahli keluarga 3 lelaki yang ditembak polis di Durian Tunggal, Melaka, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili ahli keluarga tiga lelaki yang ditembak di Durian Tunggal, Melaka menegaskan, audio berhubung kejadian tembakan tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia dirakam sendiri oleh isteri salah seorang daripadanya.

N. Surendran berkata, audio berkenaan adalah sah dan boleh menjadi bahan bukti untuk digunakan dalam siasatan kes tersebut.

“Audio itu dirakam oleh isteri salah seorang lelaki tersebut. Dia (isteri) ada di sini untuk menyerahkan sendiri kepada pihak polis.

“Berdasarkan suara dalam audio tersebut, sepatutnya sudah ada penangkapan dilakukan oleh pihak polis dan anggota berkenaan digantung tugas, namun hingga kini tiada tangkapan dibuat.

“Polis tiada tiada pilihan selain memulakan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana rakaman audio itu merupakan bukti `melimpah ruah’ (overwhelming) bagi siasatan di bawah pertuduhan membunuh,” ujarnya kepada pihak media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada ahli keluarga membuat salinan rakaman sebelum menyerahkan audio yang asli kepada pihak polis.

Ahli keluarga tiga lelaki ditembak polis di Durian Tunggal Melaka tiba bersama peguam untuk menyerahkan rakaman audio, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2025

Surendran dan Latheefa Koya hadir bersama-sama peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili ketiga-tiga wanita tersebut bagi mengiringi mereka menyerahkan rakaman audio berkenaan untuk siasatan lanjut.

Rakaman audio penuh yang belum disunting itu serta transkrip perbualan yang terkandung di dalamnya kemudian diterima oleh Ketua Siasatan Jenayah Terkelas (Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Supritendan Ta Kah Loon.

Pasukan peguam turut ditanya sama ada mereka menggesa polis  menjalankan siasatan dengan kerjasama pengendali Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) atas alasan wujud dakwaan bahawa kejadian itu berlaku di ladang kelapa sawit berhampiran lebuh raya itu.

Menurut Rajesh, perkara itu mungkin boleh menjadi sebahagian siasatan, namun hingga kini tiada langkah diambil untuk memulakan siasatan meskipun selepas tiga hari laporan polis dibuat.

“Penyerahan rakaman hari ini juga dilakukan atas inisiatif ahli keluarga mangsa, bukan polis,” ujarnya.

Menjawab soalan media bahawa gambar-gambar menunjukkan tidak berlaku pergelutan, sebaliknya tembakan dilakukan secara ‘executional style’, Rajesh berkata, beliau telah diberi penjelasan oleh pakar patalogi yang menjalankan bedah siasat.

Ujar peguam, pakar memaklumkan peluru itu dilepaskan memasuki hidup dan berhenti di jantung dan berdasarkan fakta itu, pakar berkenaan membuat kesimpulan bagi menunjukkan dari sudut mana tembakan dilakukan.

“Berdasarkan fakta saintifik itu, pakar patologi membuat kesimpulan bahawa tembakan itu dilepaskan dari atas ke bawah yang merujuk kepada `executional style killing’ yang dilakukan oleh polis,” jelas beliau.

Rabu lalu, media melaporkan JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan berhubung kejadian tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan polis pada 24 November lalu.

Pengarahnya, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat jabatannya susulan laporan dibuat ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dalam kejadian itu.

Sebelum ini, tiga penjenayah kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi hari tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast