SEBAHAGIAN jentera pilihan raya MIC yang menyertai Program PACABA, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – MIC terus memperhebat Program PACABA sebagai salah satu usaha memperkukuh keupayaan jentera parti itu di seluruh negara.

PACABA singkatan kepada Polling Agents (PA), Counting Agents (CA) dan Barong Agents (BA).

Pengarah Strategik dan Penyelaras PACABA MIC, Datuk C. Sivaraj berkata, latihan menerusi program itu dirangka untuk memastikan semua petugas memahami dengan jelas peraturan pilihan raya, tanggungjawab di saluran mengundi serta prosedur yang perlu dipatuhi pada hari pengundian.

Tambah beliau, latihan itu kini akan dijalankan secara mingguan sebagai program berterusan menjelang pilihan raya di beberapa buah negeri akan datang, serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) tidak lama lagi.

Datuk C. Sivaraj menyampaikan taklimat pada Program PACABA anjuran MIC, baru-baru ini.

Ujar Sivaraj yang juga Ahli Dewan Negara, selaras dengan arahan dan visi Presiden MIC, Tan Sri Dr S.A. Vigneswaran, PACABA disasarkan mampu melatih sehingga 10,000 ahli sebagai petugas di seluruh negara.

“Langkah ini bertujuan memastikan MIC mempunyai kapasiti yang mencukupi dan teratur bagi melaksanakan tugas di pusat mengundi secara profesional dan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Sivaraj, keupayaan jentera yang jelas dengan fungsi dan peranannya menjadi asas kepada usaha memastikan setiap undi yang diberikan kepada parti dapat dijaga dengan teliti.

Sehubungan itu, menerusi Program PACABA, MIC meletakkan matlamat untuk membina sebuah parti yang berdikari, mampu mengurus jentera pilihan raya secara tersusun serta tidak bergantung kepada sumber luar.

“Program PACABA ini adalah sebahagian daripada komitmen tersebut, bagi memastikan parti dapat beroperasi sebagai sebuah self-sustaining political party seperti yang ditekankan oleh Presiden MIC dalam agenda pengukuhan parti,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast