PUTRAJAYA – Seorang guru tampil mengadu kepada Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil bahawa beliau menerima mesej daripada seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang meminta gambar tidak senonoh melalui aplikasi WhatsApp.
Fahmi berkata, guru berkenaan memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku di sekolahnya dan murid terbabit merupakan pelajar Tahun Empat.
“Dia (guru berkenaan) mengadu anak murid beliau telah menghantar mesej kepada mangsa meminta gambar yang tidak senonoh daripada cikgu itu.
“Pelajar itu adalah pelajar Tahun 4, jadi semestinya murid berkenaan di bawah usia 16 tahun,” dedah Fahmi dalam sidang media sempena Karnival Mega Kempen Internet Selamat, hari ini.
Menurutnya, insiden itu menimbulkan persoalan besar memandangkan WhatsApp sendiri menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi menggunakan platform tersebut.
“Jadi persoalannya, kenapa WhatsApp, perkara itu boleh berlaku dalam WhatsApp. Ada banyak contoh, tapi itu salah satu contoh yang sangat dekat dengan saya kerana berlaku kepada saya (aduan diterima),” katanya.
Ditanya sama ada Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah dimaklumkan mengenai aduan yang diterima.
“Saya percaya KPM sedia maklum perkara seumpama itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu-isu serius seperti ini seharusnya ditangani melalui cadangan sekatan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak bawah umur 16 tahun.
“Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap media sosial dan sistem pemesejan internet seperti WhatsApp,” ujarnya.
Fahmi sebelum ini berkata, larangan terhadap kanak-kanak berusia 16 tahun dan ke bawah daripada memiliki akaun media sosial sendiri disasar untuk dikuatkuasakan mulai tahun depan.
Jelasnya, langkah tersebut antara inisiatif bagi mengekang jenayah siber rentas usia serta melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi dalam talian dan pemangsa seksual.
Menurut beliau, antara mekanisme yang sedang diperhalusi ialah pelaksanaan pengesahan Electronic Know Your Customer (eKYC) yang akan diwajibkan kepada platform media sosial. – MalaysiaGazette
















