Salah seorang ahli keluarga tiga lelaki ditembak polis di Durian Tunggal Melaka menyerahkan pita rakaman audio kepada Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt Ta Kah Loon di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili ahli keluarga tiga lelaki yang ditembak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu, mempertikaikan tindakan polis yang tidak berusaha mendapatkan rakaman audio yang menjadi bukti tembakan, meskipun selepas laporan dibuat Rabu lalu.

Peguam N. Surendran berkata, pihak polis langsung tidak menghubungi ahli keluarga ketiga-tiga mangsa meskipun mereka menyatakan ada menyimpan audio yang dirakam sendiri oleh salah seorang isteri lelaki tersebut.

“Jaminan polis bahawa siasatan akan dilakukan secara telus hanya ‘cakap’ sahaja kerana sejak laporan dibuat Rabu lalu, pasukan itu langsung tidak meminta rakaman audio daripada mereka.

“Tiada komunikasi dilakukan oleh pihak polis terhadap ketiga-tiga wanita itu mahupun kenyataan mereka direkod bagi membantu siasatan.

“Rakaman audio itu polis tidak minta pun, hinggakan mereka terpaksa datang ke Bukit Aman untuk menyerahkannya walhal mereka tidak menetap di sini,” ujarnya kepada pihak media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ahli keluarga tiga lelaki ditembak polis di Durian Tunggal Melaka tiba bersama peguam untuk menyerahkan rakaman audio di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2025

Surendran dan Latheefa Koya hadir bersama-sama peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili ketiga-tiga wanita tersebut bagi mengiringi mereka menyerahkan rakaman audio berkenaan untuk siasatan lanjut.

Rakaman audio penuh yang belum disunting itu serta transkrip perbualan yang terkandung di dalamnya kemudian diterima oleh Ketua Siasatan Jenayah Terkelas (Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Ta Kah Loon.

Menurut Surendran, keluarga tersebut kecewa dengan tindakan polis walhal rakaman audio dibuat merupakan bukti mengejutkan yang boleh membantu siasatan.

Sehubungan itu, pasukan peguam mahukan siasatan menyeluruh dilakukan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi dibuat oleh pihak polis bagi mengklasifikan kes itu di bawah Seksyen 302.

“Tangkapan serta pengambilan kenyatan saksi masih belum dilakukan pada peringkat ini, yang diumum hanyalah siasatan akan dijalankan secara telus. Ini kita tidak boleh terima,” ujarnya.

Rabu lalu, media melaporkan JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan berhubung kejadian tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan polis pada 24 November lalu.

Pengarahnya, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat jabatannya susulan laporan dibuat ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dalam kejadian itu.

Dalam kejadian tersebut, tiga penjenayah kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi hari tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, dilaporkan berkata ketiga-tiga suspek ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sehingga anggota polis mengalami kecederaan serius pada tangan kiri.

Beliau berkata, suspek bersenjatakan parang panjang terdiri dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast