Mesin lombong Bitcoin antara rampasan pihak polis dalam serbuan berkenaan.

BALIK PULAU – Polis menumpaskan kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin yang menggunakan elektrik secara tidak sah selepas menahan seorang lelaki warga emas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Ayer Putih di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 10 malam itu turut melibatkan pasukan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membuat pemeriksaan di beberapa premis sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan mendapati premis berkenaan dilengkapi dengan mesin perlombongan bitcoin yang beroperasi melalui sambungan elektrik tanpa kebenaran.

“Hasil semakan oleh pasukan Seal Team TNB mengesahkan berlaku kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Selain tangkapan seorang lelaki berusia 60 tahun, kita juga merampas 30 mesin perlombongan bitcoin, pelbagai jenis wayar yang disimpan dalam kotak dan beg, serta sebuah modem TP-Link.

“Anggaran kerugian akibat kecurian arus elektrik di premis ini adalah berjumlah RM22,744,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuwal menambah, kes kini disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya yang melibatkan kecurian elektrik, bagi membantu pihak berkuasa mencegah kerugian dan memastikan keselamatan komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast