KUALA LUMPUR – Polis memulakan siasatan kes seorang pembantu rumah warga tempatan yang mendakwa didera oleh majikannya di Gombak, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa bertindak melarikan diri dan meminta pertolongan daripada jiran berikutan penderaan yang dilakukan oleh majikannya, yang juga warga tempatan.
“Mangsa telah mendapatkan bantuan untuk menerima rawatan dan memaklumkan kejadian ini kepada pihak polis yang menerima laporan daripada wanita berusia 22 tahun itu pada 8.38 malam semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi ASP Ikhwanizam Ismail di talian 019-6000468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan. – BERNAMA















