KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga China ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana memasuki negara ini tanpa rekod yang sah.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, kesemua lelaki berkenaan ditahan kira-kira 7.20 malam di Balai Perlepasan Antarabangsa, Terminal 1 KLIA ketika sedang menunggu untuk menaiki penerbangan ke Pudong yang dijadualkan jam 9.30 malam.
Katanya, pemeriksaan pasport mendapati mereka tidak mempunyai cap masuk terkini, manakala semakan sistem mengesahkan cap kemasukan yang dimiliki tidak direkodkan dalam sistem.
“Semua suspek kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.
“AKPS menyatakan akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan sempadan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. -MalaysiaGazette















