Marni Roszdi bersama keluarganya selepas Majlis Konvokesyen UMS ke-27.

KUALA LUMPUR – Marni Roszdi, 23, percaya pendidikan mampu mengubah nasibnya dan keluarga yang selama ini hanya bergantung kepada hasil laut sahaja sebagai sumber pendapatan.

Graduan graduan Fakulti Perhutanan Tropika Universiti Malaysia Sabah ini berkata, suasana rumahnya berubah menjadi sunyi di saat dia menerima surat tawaran kemasukan ke UMS beberapa tahun lalu.

Katanya, sebagai anak nelayan, keluarganya gembira dengan tawaran tersebut namun berasa bimbang jika tidak mampu menanggung kos pengajiannya.

Namun anak kelima daripada tujuh beradik itu diyakinkan bapanya bahawa lelaki itu sanggup melakukan apa sahaja demi melihat dia melangkah ke menara gading.

“Ayah meyakinkan saya untuk terus sambung pengajian dan berjanji akan melawan ombak untuk mencari rezeki bagi membiaya yuran pengajian saya.

“Sejak hari itu, ayah turun ke laut setiap subuh, menempuh omabk dan cuaca tidak menentu demi memastikan impian anaknya tidak terkubur, ” luahnya.

Marni berkata sejak hari itu, bapanya turun ke laut setiap subuh, menempuh ombak dan cuaca tidak menentu demi memastikan impian anaknya tidak terkubur.

Menurut Marni, cabarannya bertambah ketika pandemik Covid-19 melanda.

“Pendapatan keluarga jatuh merudum. Saya hampir berputus asa apabila wang saku tidak mencukupi, namun saya memilih untuk bertahan dengan bekerja sebagai Sukarelawan Bilik Gerakan COVID-19 UMS, menerima elaun RM20 sehari.

“Walaupun jumlahnya kecil, tetapi amat besar ertinya bagi seorang pelajar luar bandar seperti saya,” jelasnya.

Di samping itu, sokongan moral daripada warga Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, menjadi pemangkin kekuatan ketika beliau hampir rebah oleh tekanan.

Katanya, walaupun menggalas komitmen sebagai ahli unit beruniform SISPA serta aktif dalam pelbagai aktiviti universiti, dia tetap berjaya mengekalkan PNGK 3.0 ke atas selama lapan semester.

Mengulas perjalanan Marni, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, menyifatkan kisah itu sebagai cerminan sebenar harapan rakyat Sabah terhadap pendidikan.

“Kisah Marni menggambarkan UMS sebagai universiti harapan rakyat Sabah. Ia menunjukkan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh kemewahan, tetapi oleh usaha, keberanian dan doa ibu bapa.

“Pengorbanan keluarganya, semangat ayahnya menempuh ombak demi masa depan anak, dan keteguhan Marni menghadapi cabaran hidup adalah lambang nilai sebenar UMS. Kisah ini wajar menjadi inspirasi kepada semua pelajar,” tambah beliau.

Seramai 3,7807 graduan berjaya diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27 tahun, kali ini. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast