Gambar tular memapar seorang remaja memecut di lampu isyarat, basikal lajak nyaris dilanggar kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR – Dua remaja lelaki yang menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Khamis lalu mendakwa mereka tidak menyedari ketika itu lampu isyarat warna merah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada pukul 5 petang kelmarin sebelum dibebaskan pada pukul 2 pagi semalam selepas keterangan mereka diambil.

ACP Wan Azlan Wan Mamat.

“Mereka memberi alasan tidak sedar lampu isyarat sedang merah sewaktu menunggang basikal lajak di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, kedua-dua remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak berlaku kerosakan terhadap mana-mana kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, setakat ini empat keterangan telah direkodkan melibatkan dua remaja berkenaan dan ibu bapa mereka. Kes disiasat mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas hasil siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

“Ibu bapa mereka turut dipanggil, diambil keterangan dan diberikan nasihat,” tambahnya.

Semalam, media melaporkan bahawa dua remaja tersebut ditahan selepas aksi berbahaya mereka menunggang basikal lajak hampir mengakibatkan perlanggaran dengan sebuah kereta, selain video kejadian itu turut tular di media sosial. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast