NEW DELHI – Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Pakistan pada Isnin untuk lawatan dua hari yang akan menyaksikan beliau mengadakan perbincangan meluas bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
Presiden Pakistan Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyambut ketibaan Subianto di Pangkalan Udara Nur Khan di luar ibu negara, Islamabad.
Presiden Indonesia itu diiringi delegasi peringkat tinggi ketika Indonesia dan Pakistan dijangka meneroka beberapa bidang seperti teknologi maklumat, pertahanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, perdagangan dan pelaburan bagi memperdalam hubungan kedua-dua negara.
Beberapa memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai, menurut kenyataan Pakistan.
“Pakistan dan Indonesia terikat bersama oleh sejarah yang dikongsi, pertalian budaya yang mendalam serta persahabatan yang berasaskan saling menghormati dan solidariti,” kata Shehbaz dalam hantaran di X pada Isnin.
“Saya menantikan pertemuan bermakna esok ketika kita berusaha mengukuhkan lagi perkongsian yang berkekalan ini,” tambahnya.
Lawatan terakhir presiden Indonesia ke Pakistan ialah oleh Joko Widodo pada 2018.
— BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN
Hampir 1,000 orang maut, sejuta hilang tempat tinggal akibat banjir di Indonesia















