KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu Perodua Aruz yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen kepada dua penumpang tempatan dengan kadar RM180 untuk ke Seremban membawa padah apabila dia ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, tangkapan itu hasil intipan dan pemantauan rapi yang dijalankan Stesen Penguatkuasa KLIA di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut beliau, anggota penguat kuasa berjaya menahan sebuah kenderaan Perodua Aruz bersama pemandunya yang disyaki terlibat dalam aktiviti ‘ulat’ iaitu menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram.
“Siasatan awal mendapati suspek memujuk dan merayu dua penumpang tempatan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan ke Seremban, Negeri Sembilan dengan kadar tambang RM180, yang akan dibayar sebaik tiba di destinasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Azrin menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mereka yang bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta sama.
Beliau turut menasihati orang awam agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan serta memastikan keselamatan perjalanan. – MalaysiaGazette
















