PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas penebar roti canai daripada sabitan dan hukuman kerana membunuh seorang anggota polis bantuan wanita di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, Petaling Jaya, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap Mohamad Farreyl Haikal Abdullah, 28, secara sebulat suara selepas membenarkan rayuannya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz mengetepikan hukuman penjara 30 tahun yang dijalaninya bermula tarikh tangkap pada 18 Oktober 2019 dan 12 sebatan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Jun tahun lalu.
Menurut pertuduhan, Mohamad Farreyl didakwa membunuh Nor Aisyah Abdullah, 25, di pangsapuri tersebut antara pukul 2 pagi pada 17 Oktober dan 12.45 tengah malam 18 Oktober 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perayu diwakili peguam-peguam Fahri Azzat dan Iqbal Harith Liang manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah.
Hakim Azman ketika membacakan keputusan itu berkata, hakim bicara terkhilaf kerana gagal mengambil kira laporan kimia (P46) yang membuktikan kehadiran pihak lain yang tidak dapat dikenal pasti identitinya dalam rumah tersebut.
Menurut beliau, P46 menunjukkan wujud profil Asid Deoksiribonukleik (DNA) orang lain pada puntung rokok, seluar dalam dan bantal dalam bilik tersebut yang memungkinkan kehadiran individu lain dalam rumah yang disewa perayu.
Hakim Azman turut berkata, tiada keterangan dikemukakan bagi menyokong hujahan pihak pendakwaan yang bersandarkan kepada prinsip individu terakhir dilihat di tempat kejadian (last seen principle) bagi mendakwa perayu.
Terdahulu, Fahri berhujah, P46 menunjukkan kewujudan dua profil DNA yang tidak diketahui serta pengakuan pegawai penyiasat kes bahawa beliau tidak membaca kandungan laporan kimia ketika siasatan sehingga tarikh perbicaraan, telah menggugat kes pendakwaan.
Keterangan kes menyatakan, bedah siasat ke atas mangsa yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr. Tan Ran Zhi menunjukkan wanita itu meninggal dunia akibat tekupan pada hidung dan mulut (smothering) yang menyebabkan mangsa sesak nafas.
Pakar forensik menyatakan, mangsa mengalami kecederaan antaranya patah tulang hidung, koyakan di bawah bibir dan lebam pada kedua-dua mata yang konsisten dengan perbuatan menekup dengan jari, bukan menggunakan bantal lembut.
Pada prosiding itu, Mohd. Asnawi berhujah, antara barang lain yang dirampas di rumah tempat kejadian adalah dua puntung rokok dan hasil ujian DNA mengesahkan terdapat DNA milik perayu.
Hujah beliau, keterangan ikut keadaan menjurus kepada satu dapatan bahawa hanya perayu yang mempunyai akses kepada si mati dalam rumah tersebut.
Keterangan kes menyatakan, rumah itu pernah disewa oleh perayu, mangsa dan seorang rakan mereka sebelum kedua-duanya (mangsa dan rakan tersebut) berpindah ke Sungai Buloh, namun masih menyimpan kunci pangsapuri tempat kejadian.
Pada hari tersebut, mangsa singgah di pangsapuri itu untuk memberi makan kucing peliharaan yang ditinggalkan di situ sebelum membuat keputusan untuk bermalam kerana hujan lebat.
Pendakwaan selanjutnya menghujahkan, pemeriksaan di tempat kejadian menunjukkan tiada kesan pecah masuk berlaku manakala hanya perayu, mangsa dan rakan tersebut mempunyai kuncinya.
Hujah pendakwaan, perayu mengaku menghisap rokok menyebabkan profil DNAnya dijumpai pada puntung rokok dan ia menjadi bukti kukuh bahawa perayu berada bersama mangsa sebelum kematiannya. – MalaysiaGazette
















