BALIK PULAU – Dua lelaki mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen.
Tertuduh, Teo Chee Lam, 37, dan Fo Tze Jie, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan memberikan RM5,000 kepada seorang wanita pada 28 Ogos lalu, jam 12.16 tengah hari di sebuah unit kediaman di Persiaran Paya Terubong 4, Sierra East, Bayan Lepas di sini.
Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, manakala pesalah berulang boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Raveen Ashwin.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing mereka diikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Januari depan. – MalaysiaGazette
















