TOKYO – Gempa bumi bermagnitud 7.6 melanda bahagian timur laut Jepun, dengan laporan ribuan penduduk telah diarahkan untuk meninggalkan rumah mereka.
Gempa itu berlaku pada 23.15 (14:15 GMT) pada kedalaman 50km (31 batu), kira-kira 80km dari pantai wilayah Aomori, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Gempa tersebut mencetuskan amaran tsunami tetapi telah ditarik balik, namun ombak setinggi 70cm (27 inci) telah melanda perairan negara ini.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dan memberi amaran kepada penduduk supaya terus berwaspada terhadap gegaran susulan sepanjang minggu ini.
Ketika berucap kepada rakyat yang terjejas akibat gempa itu, beliau berkata: “Semak semula persediaan harian menghadapi gempa bumi, seperti memastikan perabot dipasang kukuh, dan bersedia untuk segera berpindah jika anda merasakan gegaran”.
Perintah pemindahan telah dikeluarkan kepada kira-kira 90,000 penduduk, menurut media tempatan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara berkata, kerajaan sedang menilai kerosakan dan melaksanakan langkah tindak balas bencana kecemasan, termasuk operasi menyelamat dan bantuan.
Beberapa perkhidmatan kereta api laju telah digantung di sepanjang pantai timur laut.
Setakat ini, tiada kejadian luar biasa berlaku di loji tenaga nuklear Higashidori dan Onagawa akibat gempa itu, menurut Tohoku Electric Power.
Begitu juga, tiada sebarang masalah dikesan di tapak loji nuklear Fukushima yang telah dilumpuhkan, menurut pihak berkuasa Jepun kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Televisyen Jepun menyiarkan mesej seperti “Tsunami! Lari!” dan “Amaran tsunami dikeluarkan untuk Pantai Pasifik Hokkaido tengah”.
Fukushima pernah mengalami kerosakan apabila gempa berkuasa magnitud 9.0 melanda pesisir timur negara itu pada 11 Mac 2011.
Gempa itu yang paling kuat pernah direkodkan di Jepun mencetuskan tsunami yang melanda pulau utama Honshu, mengorbankan lebih 18,000 orang dan memusnahkan beberapa bandar sepenuhnya.
Jepun merupakan salah satu negara paling kerap mengalami gempa bumi di dunia, dengan gegaran berlaku sekurang-kurangnya setiap lima minit. – Agensi
















