MELAKA – Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah yang merentasi negeri ini akan menyaksikan Melaka mempunyai enam plaza tol baharu, sekali gus mewujudkan enam pintu masuk lain ke Melaka.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, WCE yang dijangka dilancarkan pada akhir 2026 akan siap dalam tempoh 10 tahun lagi menjelang 2035.
Menurutnya, cadangan enam plaza tol di Melaka di melibatkan jajaran sepanjang 69 kilometer (KM) iaitu satu tol bagi setiap 11 atau 12 KM tidak dapat dielakkan demi memenuhi keperluan penduduk yang semakin padat di setiap tempat.

“Enam tol ini bukan dibuat secara suka-suka, tetapi kerana kepadatan penempatan di Melaka kerana kalau kita letak satu sahaja, semua trafik satu kawasan mengalami kesesakan teruk.
“Ini menjadikan Melaka akan mempunyai sembilan pintu masuk, selain tiga sedia ada melalui Lebuhraya PLUS iaitu Plaza Tol Simpang Ampat, Ayer Keroh dan Jasin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed Mytheen berkata, enam tol jajaran WCE adalah di Masjid Tanah, Gangsa, Semabok, manakala tiga lagi belum dimuktamadkan
Ditanya adakah penduduk tempatan akan terkesan dengan kadar tol yang bakal dikenakan itu, beliau berkata, mereka masih boleh menggunakan jajaran baharu jalan lingkaran (ring road) tanpa tol.
“Jajatan di bawah Program Pembangunan Jalan Raya Melaka yang sedang dirancang sehingga 2035 ini melibatkan Masjid Tanah, Sungai Udang, bersambung terus ke Klebang sehinggalah ke Melaka Raya dan Semabok.
“Ia akan mengelilingi bandar Melaka, jadi orang Melaka tak perlulah pakai laluan tol kerana mereka mempunyai laluan sendiri selain Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) yang sedia ada,” katanya.
Tambahnya, jajaran yang bakal dibina itu akan menghubungkan dua daerah iaitu Alor Gajah ke Melaka Tengah dengan kos melebihi RM300 juta bagi menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong sejauh hampir tujuh kilometer. – MalaysiaGazette
















