Nurul Islam Mohamed Yusoff
Nurul Islam Mohamed Yusoff.

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan keputusan Kementerian Pengangkutan melantik Rider Gate Sdn. Bhd. sebagai ejen kutipan bagi beberapa urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, pelantikan syarikat tersebut menimbulkan persoalan memandangkan semua perkhidmatan itu selama ini boleh diakses melalui aplikasi MySikap dan MyJPJ.

“Eh kejap, bukan semua ni boleh diakses guna apps MySikap dan MyJPJ ker? Dah tu kenapa nak kena lantik syarikat ketiga ni? Ni yang pelik sikit.

“Jadi aku pun buat carian sikit. Macam biasalah korek sampai lubang cacing. Apa yang aku jumpa mengejutkan,” soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ramssol Group Bhd yang memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn. Bhd., telah dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan bagi urusan JPJ.

Semalam, syarikat itu memaklumkan melalui portal aplikasi Rider Gate, pengguna kini boleh mengakses platform digital sepenuhnya yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.

Sistem itu turut menyediakan pelaporan masa nyata kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan ketelusan penuh.

Mengulas lanjut, Nurul Islam mendakwa, semakan terhadap latar belakang syarikat berkenaan mendapati Rider Gate Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 19 Oktober 2023, menunjukkan rekod kewangan yang tidak memberangsangkan sejak penubuhannya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod yang ditemukan, syarikat itu tidak mencatat sebarang pendapatan bagi tahun berakhir 2024 dan 2025 selain merekodkan kerugian masing-masing RM88,096 dan RM283,722 bagi tempoh tersebut.

“Korang nak tahu, pada 18/01/2025 Anthony Loke sendiri pernah turun dan rasmikan aplikasi ‘RIDER GATE’, sebuah platform jual beli motorsikal terpakai yang dibuat oleh syarikat ni. Dengar cerita aplikasi ‘RIDER GATE’ ni tak dapat sambutan dan menyebabkan syarikat ni rugi,” dakwanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Anthony Loke menjelaskan kaedah perolehan dan pemilihan Rider Gate Sdn. Bhd., sambil mempersoalkan mengapa syarikat lain yang lebih berkemampuan tidak dipertimbangkan.

“Dah takde syarikat milik rakyat Malaysia, yang berkelayakan dan mampu buat kerja ejen kutipan JPJ? Paling penting, MyJPJ dan MySikap lepas ni nak buat apa?

“Elok dah ada aplikasi milik JPJ sendiri, kalau ada kekurangan kan elok ditambah fungsi dan ditambah baik. Bukan tetiba kau bagi kepada third party untuk amik kerja JPJ. Syarikat bermasalah pulak tu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Ramssol dilantik ejen kutipan JPJ

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kerajaan PMX, bukan kah berhasrat untuk membangunkan kepakaran dalaman terdiri dari PENJAWAT AWAM sendiri, mengapa pulak ” tak ada hujan, tak ada panas” nak swastakan pulak, macam zaman zaman mahathir dan Ummamno. Swasta ni Mereka bermula dengan kecil kemudian akan menjadi ” biawak gabuk” tiada masalah beban dibalas. Nanti mereka memasuki kontrak dengan kerajaan, mendapat konsesi tertentu, kerajaan pula memberi pelbagai potongan kepada Rakyat, tetapi tetap membayar kepada syarikat konsesi. seperti keadaan nya dengan lebuh Raya.

Comments are closed.