Aedy Fadly Ramli.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan pelantikan ejen-ejen pemungut telah dilaksanakan sejak tahun 2016.

Setakat 9 Disember 2025, JPJ telah melantik sebanyak 10 ejen pemungut, jelas ketua pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Antaranya sebelum ini termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn. Bhd., MyEG Services Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd., serta TNG Sdn. Bhd.

Menurut beliau, pelantikan ejen pemungut ini juga tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.

Oleh itu, kata Aedy, kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan JPJ adalah berpunca daripada salah faham berkenaan fungsi ejen pemungut JPJ.

Jelasnya, ejen-ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan Pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan oleh JPJ.

Sebaliknya, pelantikan ejen-ejen pemungut JPJ membenarkan perkhidmatan JPJ untuk ditawarkan di saluran tambahan.

“Sebagai contoh, apabila sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ini membolehkan platform tersebut untuk turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan.

“Namun, pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di Pejabat JPJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu ini tercetus apabila Ramssol Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Rider Gate Sdn Bhd dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff antara pihak yang mempersoalkan lantikan ini berkata, pelantikan syarikat tersebut menimbulkan persoalan memandangkan semua perkhidmatan itu selama ini boleh diakses melalui aplikasi MySikap dan MyJPJ.

“Eh kejap, bukan semua ni boleh diakses guna apps MySikap dan MyJPJ ker? Dah tu kenapa nak kena lantik syarikat ketiga ni? Ni yang pelik sikit,” katanya.

Ketua Pengarah JPJ menambah, mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada jabatan tersebut.

Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang telah dilaksanakan sekian lama.

“JPJ kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalseliaan berterusan ke atas semua agen pemungut yang dilantik.

“JPJ juga akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi serta tahap pengalaman pengguna berada di tahap optimum selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast