Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Nina Grace dan suaminya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan tanpa lesen tujuh ekor hidupan liar yang dilindung, tiga bulan lalu.

Pasangan Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 28, dan Mohamad Zulaiman Din, 28, selaku Orang Kena Saman (OKS) meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, mereka dituduh menyimpan tiga ekor ular Green Tree Phyton (Morelia viridis), seekor ular Carpet Phyton (Morelia spilota), seekor ular sawa batik (Phyton reticulatus), seekor iguana (Iguana iguana) dan seekor kura-kura Sulkata (Centrochelys sulcata) tanpa lesen.

Kesemua haiwan itu merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis perniagaan di Jalan Damai Raya 1, Alam Damai, Cheras di sini pada pukul 4.30 petang, 20 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 60(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit bersalah, kedua-dua OKS boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mas Izzaty memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan pasangan itu perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan terdekat sebulan sekali.

Bagaimanapun, Nur Nina dan Mohamad Zulaiman merayu mahkamah menetapkan ikat jamin lebih rendah dengan alasan mereka tidak mampu membayar jumlah yang tinggi dan mempunyai dua anak dan ibu bapa untuk disara.

Siti Shakirah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Januari depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast