KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui terdapat projek lewat di bawah kementeriannya namun menegaskan jumlahnya hanya sekitar tiga peratus daripada keseluruhan projek yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, walaupun angka itu kecil, pihaknya tetap memberi perhatian terhadap isu berkenaan.
“Hanya sekitar tiga peratus daripada keseluruhan projek berada dalam kategori lewat, bermasalah atau ‘sakit’.
“Bukan banyak sangat, memanglah ia mencolok mata tetapi projek yang siap lebih awal atau tepat pada masanya, yang kebanyakan orang tidak cakap.
“Walaupun hanya tiga peratus, projek ini tetap menjadi fokus perhatian. Sebab itulah Ketua Setiausaha (KSU) telah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk pantau, ambik tindakan yang sepatutnya mereka tatakelola.
“Perlu diingat, kontrak ada aspek undang-undang, jadi kita tidak boleh menamatkan projek sesuka hati,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Roadshow Korea – Malaysia di sini hari ini.
Menurut Nanta, kelewatan projek lazimnya berpunca daripada beberapa faktor, termasuk isu tapak, kerja-kerja utiliti serta kelemahan pengurusan dan kedudukan kewangan sesetengah syarikat juga menjadi punca projek tergendala.
Dalam pada itu beliau turut merayu kepada orang awam agar menjaga harta kerajaan kerana kemudahan itu disediakan demi keselamatan dan keselesaan semua.
Perdana Menteri baru-baru ini dilaporkan mahu Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu bertindak terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan itu penting kerana KKR bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan yang memberi impak kepada kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















