KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan fokus pentadbiran negeri adalah menyelesaikan isu tanah Felda secara rundingan tanpa melibatkan konfrontasi politik meskipun UMNO didakwa terus membangkitkan polemik berkaitan perkara itu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, sejak awal pengurusan isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilakukan, kerajaan negeri tidak pernah menyentuh atau menyerang UMNO.
Malah pihaknya mengucapkan terima kasih terhadap kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang disifatkan sebagai jelas dan terus terang.
Menurutnya, kenyataan Ahmad sebelum ini kira-kira 15,000 hektar tanah yang diberikan kepada Felda tidak mempunyai hak milik kerana agensi itu gagal mematuhi syarat sekali gus membawa maksud tanah berkenaan kekal sebagai tanah kerajaan.
Ia merupakan fakta yang tidak pernah dinafikan oleh mana-mana pihak.
“Datuk Seri Ahmad Said maklumkan, zaman dia mentadbir dulu, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar yang diberi kepada Felda tak ada hak milik. Sebab apa tak ada hak milik? Sebab Felda tak mematuhi syarat. Bila tak ada geran hak milik bermakna ia masih tanah kerajaan.
“Mantan MB menggunakan istilah, Felda membangunkan tanah secara haram. Lebih keras dari istilah saya, Felda menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Ahad lalu, Ahmad Said berkata, Kerajaan Negeri Terengganu berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Felda berikutan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.
Malah beliau berkata, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar diusahakan dengan ladang kelapa sawit oleh FGV tidak mematuhi syarat, terutama tidak memasukkan peneroka.
Katanya, tanah diterokai masing-masing di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun itu adalah hak milik kerajaan negeri selagi tidak ditukar hak milik kepada Felda.
Dalah pada itu, Azman menegaskan, peraturan tanah semasa pentadbiran lama dan kini tidak pernah berubah, justeru kegagalan Felda mendapatkan geran hak milik dahulu tetap kekal menjadi isu yang perlu diselesaikan sehingga sekarang.
Bahkan menurut beliau, kerajaan negeri hanya menyambung usaha yang dimulakan sebelum ini bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.
Langkah tegas melalui penghantaran Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) telah membuka ruang baharu apabila pengurusan tertinggi FELDA kembali ke meja rundingan dengan beberapa persetujuan awal berjaya dicapai secara dasar melibatkan tuntutan kerajaan negeri.
“Dalam situasi ini, apakah ia suatu keadilan untuk Kerajaan Negeri terus berkeras dan bertegas tanpa kompromi? Jawabnya, tidak!
“Fokus kita dari dulu lagi ialah untuk menyelesaikan isu dengan Felda. Tak ada sebaris ayat pun nak ajak UMNO berkonfrantasi. Malah kita berterima kasih atas usaha perundingan yang telah dimulakan oleh pemimpin UMNO dulu. Berulang kali saya nyatakan, kita hanya menyambung kerja yang belum selesai,” katanya.
Azman menjelaskan, tindakan kerajaan negeri menyambut ruang perdamaian termasuk mempertimbangkan permohonan Felda untuk menyambung tempoh pemulihan serta memberikan keizinan kepada FGV mengoperasikan semula ladang walaupun Notis 425 masih berkuat kuasa, sebagai sebahagian daripada proses rundingan yang memerlukan sikap memberi dan menerima.
Bagaimanapun, katanya, UMNO terus mengambil pendekatan menyerang meskipun kerajaan negeri tidak pernah meminta campur tangan mereka.
Jelasnya, tindakan itu hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO sendiri dalam kalangan rakyat.
“Dalam keadaan yang semakin tenang dan cahaya mula kelihatan di hujung terowong, UMNO terus nak jadi langau. Kalau begini cara berfikir, banyak lagi awak belah sana kena belajar berpolitik.
“UMNO duduk diam-diam maka itu lebih bijak. Tak apalah kalau tak ada semangat patriotik pun, asalkan tak jadi beban kepada pihak yang nak menyelesaikan permasalahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















