KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terjejas susulan gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.5 yang melanda wilayah timur laut Jepun yang berlaku semalam.
Menurut kenyataan rasmi Wisma Putra, kedutaan Malaysia di Tokyo telah segera mengaktifkan pemantauan selepas kejadian yang berlaku pada pukul 11.15 malam waktu tempatan itu.
“Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi tersebut. Kedutaan berada dalam komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau perkembangan semasa,” jelas kenyataan itu hari ini.
Untuk rekod, gempa bumi berkenaan dikesan pada kedalaman 54 kilometer, kira-kira 80 kilometer dari pesisir Aomori.
Wisma Putra turut memaklumkan bahawa amaran tsunami yang dikeluarkan sejurus selepas gempa bumi telah ditarik balik, bagaimanapun rakyat Malaysia dinasihatkan supaya terus berwaspada.
Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal atau sedang melancong di kawasan terjejas agar mengelakkan kawasan pantai serta mematuhi arahan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa Jepun dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di Jepun untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Kedutaan Malaysia bagi memudahkan komunikasi dan bantuan ketika kecemasan.
“Kedutaan berada dalam komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan terus memantau perkembangan terkini,” menurut kenyataan itu.
Gempa bumi berkenaan telah mencederakan 30 orang dan mencetuskan ombak tsunami setinggi 70 sentimeter yang sampai ke pantai Pasifik, lapor Agensi Berita Kyodo memetik kerajaan Jepun semalam.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, gempa yang berlaku pada 11.15 malam itu berpusat di luar pantai timur wilayah Aomori pada kedalaman 54 kilometer, dan boleh diikuti satu lagi gempa dengan magnitud sama atau lebih besar di kawasan berkenaan dalam beberapa hari akan datang.
Ia merupakan kali pertama agensi itu mengeluarkan amaran sedemikian bagi kawasan pantai Hokkaido dan pantai Sanriku yang merentangi Aomori hingga Iwate dan Miyagi. – MalaysiaGazette
















