KUALA LUMPUR – Pelakon, Rita Rudaini memuat naik kata-kata berbaur luahan hati yang menggambarkan kekuatan dirinya untuk mengharungi kes saman yang bakal dihadapinya.
Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, berkata, setiap kejujuran sangat sukar diakui apatah lagi apabila semua yang diucapkan adalah kebenaran.
Menerusi hantaran sama, ibu tunggal dua anak itu turut berkongsi sebuah video animasi yang memaparkan seorang pahlawan wanita sedang berjuang lalu menggendong anaknya.
Kelmarin, dua tokoh akademik nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap Rita selepas dakwaan fitnah berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta tidak dipatuhi.
Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor, serta timbalannya, Saidah Haris @ Harith memfailkan saman tersebut melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.
Menurut peguam mereka, Datuk Adnan Seman, tindakan itu dibuat selepas mendapati Rita memuat naik kenyataan berunsur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform lain.
Semalam, pelakon terbabit pernah mendakwa wujud kepincangan dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (Muafakat) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar sehingga mencetuskan perhatian ramai. – MalaysiaGazette















