KUALA SELANGOR – Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pihak berkuasa termasuk meminta wang perlindungan agar membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pendedahan orang ramai yang dibuat melalui platform media arus perdana mahupun media sosial tidak akan menyelesaikan masalah.
“Ini perkara baharu yang timbul dalam media, bagi saya ini isu lama, peniaga yang mendakwa memberi wang kepada agensi penguat kuasa, saya berharap mereka ini datanglah kepada SPRM.
“Kita sudah ada undang-undang dan mereka juga tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, perkara ini telah kita hebahkan berulang kali,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Azam menyampaikan ucaptama sempena program SPRM-UiTM 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam.
Pada 6 Disember lalu, media melaporkan selepas beberapa jam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan operasi bersepadu secara besar-besaran di sekitar Pasar Borong Selayang, warga asing khususnya etnik Rohingya kembali memenuhi kawasan itu.
Mengulas lanjut, Azam menyifatkan dakwaan pemberian wang perlindungan kepada pegawai-pegawai penguat kuasa sebagai tidak adil tanpa bukti kukuh.
“Kalau mereka setakat bercakap dengan media atau media sosial, perkara ini tidak akan selesai. Bila menuduh agensi penguat kuasa secara umum, pada saya itu tidak adil.
“Kita nampak ada peniaga menjalankan perniagaan tidak mengikut proses dan tidak mengikut undang-undang, malah ada yang menjalankan perniagaan secara haram dengan pelbagai kesalahan.
“SPRM tidak akan membuka kertas siasatan tanpa menerima maklumat benar dan tepat daripada pengadu.
“Kami tidak akan menjalankan penyiasatan ini kalau tidak ada maklumat yang benar dan tepat sampai kepada kami, kita kena berlaku adil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















